KESAN PERUBAHAN MASYARAKAT MAJMUK
Negara ini mempunyai masyarakat majmuk dan telah wujud sejak zaman pemerintahan British lagi. Pada tahun 2021, dianggarkan penduduk di negara ini berjumlah 32.75 juta di mana orang warganegara beranggaran seramai 29.91 juta dan 2.84 juta orang bukan warganegara. Daripada jumlah warganegara, 20.9 juta orang terdiri daripada kaum bumiputera, 6.7 juta orang daripada kaum Cina, 2.0 juta orang kaum India dan 0.3 juta orang daripada kaum-kaum lain.
Jumlah Penduduk di Malaysia pada tahun 2021
Masyarakat Melayu
Dalam Perlembagaan, orang Melayu merujuk kepada orang yang bertutur bahasa Melayu, yang mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Kriteria yang diberikan oleh Perlembagaan telah memberi implikasi bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi ‘Melayu’ asal sahaja memenuhi tiga kriteria tersebut. Sebab itu, apabila seseorang yang bukan Melayu memeluk Islam, orang itu dianggap secara automatik fasih berbahasa Melayu dan hidup seperti orang Melayu hasil daripada pergaulannya dengan orang Melayu.
Tafsiran kebudayaan pula menganggap ‘Melayu’ itu sebagai merujuk secara mudahnya kepada satu rumpun bangsa yang memiliki ciri-ciri umum seperti budaya Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan ras Melayu. Dengan kata lain, orang Melayu itu merujuk kepada satu rumpun bangsa yang mempunyai pola-pola fizikal dan kebudayaan yang berbeza daripada bangsa yang lain.
Kalau ditinjau dari sudut tafsiran ini orang Melayu tidak hanya terdapat di Malaysia sahaja tetapi juga berselerak di wilayah-wilayah yang menganjur dari Taiwan di utara hingga ke Kepulauan Pasifik di selatan dan dari Papua New Guinea di timur hingga ke Madagsacar di barat. Terdapat teori yang mengatakan orang Melayu sekarang adalah berketurunan orang Melayu-Deutro (Deutro-Malay) yang berhijrah dari Yunan di selatan China ke kawasan-kawasan di selatan Tanah Besar Asia, termasuk negara ini pada kira-kira tahun 1 500 S.M.
Teori ini bagaimanapun ditentang oleh sejarahwan-sejarahwan tempatan. Alasannya teori ini lebih berupakan andaian atau hipotesis yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh. Alasan kedua, tinjauan pakar-pakar sejarah dan antropologi di kawasan yang dikatakan tempat asal orang Melayu di selatan China itu (Yunan) tidak menemui apa-apa bukti yang boleh dihubungkan dengan orang Melayu. Dengan itu, orang Melayu adalah penduduk yang sudah lama mendiami negara ini.
Masyarakat Cina
Orang Cina memasuki Malaysia sejak akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19 lagi. Pulau Pinang dan Singapura menjadi destinasi utama mereka apabila kedua-duanya dibuka oleh British pada tahun 1876 dan 1819. Tetapi, orang Cina telah pun berada di negara ini sebagai peladang gambir dan lada hitam ketika Riau berada di bawah kekuasaan Johor. Mereka kemudiannya berpindah ke Singapura selepas Singapura dibuka oleh British. Pada awal abad ke-19, saudagar Cina dan Eropah membawa masuk orang Cina setelah saudagar berkenaan mendapat izin untuk mengerjakan lombong daripada pemerintah tempatan dengan tenaga buruh Cina yang tidak begitu banyak.
Pada pertengahan abad ke-19, orang Cina di Singapura mula memasuki Johor. Mereka diberi kawasan di sepanjang sungai oleh pemerintah Johor untuk membuka ladang. Temenggung Johor mengeluarkan Surat Sungai kepada seorang ketua (Kangchu) di satu-satu kawasan ladang gambir atau lada hitam yang disebut sebagai Kangkar. Di Perak, Long Jaafar yang menjadi pembesar Larut telah membawa masuk buruh Cina dari Negeri-negeri Selat (NNS) pada pertengahan abad ke-19 untuk mengerjakan lombong bijih timah di Larut. Gelombang kedatangan buruh Cina semakin hebat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 seiring dengan perkembangan dalam perlombongan bijih timah. Ini disebabkan suasana politik di Tanah Melayu agak stabil jika dibandingkan dengan suasana politik di China. Selepas pada itu, kebanyakan kaum Cina tidak bercadang untuk terus menetap di Malaysia. Pada tahun 1930-an, timbul kecenderungan di kalangan buruh Cina untuk menetap di negara ini disebabkan suasana politik dan ekonomi di China yang tidak stabil.
Pada hari ini terdapat kira-kira 6.27juta orang kaum Cina di negara ini dan merupakan kaum kedua terbesar. Di Sabah, bilangan kaum Cina adalah sedikit disebabkan tidak ada kegiatan perlombongan. Hanya sebilangan kecil daripada mereka dibawa masuk ke Sabah apabila ladang tembakau dibuka. Bilangan orang Cina di Sarawak agak ramai berbanding di Sabah. Orang Cina memasuki Sarawak melalui Indonesia.
Masyarakat India
Golongan awal orang India yang datang ke negara ini dikesan sejak abad ke-19 lagi. Mereka datang ke Tanah Melayu sebagai pedagang dan ada yang dilantik sebagai “saudagar raja”. Bilangan mereka yang tidak begitu ramai tidak memberi kesan besar terhadap komposisi besar terhadap komposisi di negara ini. Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, British membawa masuk orang India dari Bangkahulu (Bengkulen). Golongan ini merupakan orang tahanan dalam proses pertukaran tawanan ekoran daripada perjanjian tersebut. Mereka dibawa masuk untuk bekerja membina bangunan-bangunan pemerintah, jalan raya dan jambatan.
Pada tahun 1940-an pula, British membawa satu lagi kumpulan buruh India untuk bekerja sebagai buruh ladang tebu di Seberang Perai (Province Wellesley). Oleh itu, sehingga pertengahan abad ke19 terdapat dua jenis golongan buruh India di negara ini iaitu buruh tawanan perang dan buruh ladang. Apabila ladang kopi dan teh dibuka di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dan di Johor selepas campur tangan British pada 1874, British membawa masuk satu lagi kumpulan buruh India. Peladang-peladang Eropah sangat gemar mengambil buruh India kerana upah nya lebih murah dan tambahan pula, pada waktu itu pentadbiran British di India memudahkan proses pengambilan buruh untuk bekerja di Tanah Melayu.
Ulasan
Catat Ulasan